Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di
kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut
tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada
tahun ini.
“Tapi pakcik kena
bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya
minggu depan bayaran mesti dibuat.” Beritahu pegawai itu lagi.
“In sha Allah encik.
Saya akan bayat seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin
segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.
Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke
rumah. “Pah… Ooo… Pahh!” teriak Pak
Uwei sebaik turun dari keretanya.
“Apa bendanya
terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni
Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. In sha Allah,
dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu
dah melambai-lambai,” cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.
“Betul ke ni bang?
Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak
ada dalam senarai.”
“Betullah Pah oii…
Saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena
bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Mana kita nak cari
duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek
mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah
suaminya.
“Alah Pah, kita
mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya
banyak Cuma dua tibu seorang sahaja.” Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia
yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapanya. “Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak
tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.
“Kalau tak cukup
bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan
anak-anak bang, lagi pun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta
duit anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.
“Pah… Muaz dan Balkis
tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi,
takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah
minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu
tak akan mengampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang
menggunnung di gantungkan kepada anaknya.
“Tapi bang…”
“Dah lah… Pergi
siapakan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon
budak-budak tu,” Pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.
Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan
pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya
menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
“In sha Allah, Kis
balik nanti abah. Ermm! Abah nak Kis surun Intan balik sama?” tanya Balkis.
“Ikut suka kaulah,
bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje.
Balik ya…” balas Pak Uwei.
Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya
cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan.
Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu
menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis
yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak
menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intak untuk bekerja
kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti
orang asing.
“Abah tak setuju kau
nak kerja kilang di KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei
tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.
“Intan dah tak minat
nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya
haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.
“Aku suruh kau belajar
kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang
rosak akhlak kerja kilang tinggal di KL jauh dari mak bapa, bolehlah buat apa
yang kau suka kan? Kau bebas macam tu?”
“Itulah abah, selalu
nampak yang buruk aje, bukan semua yang kerja kiland menetap di KL tu jahat,
abah. Kerja apa dan di mana sekali pun sama sahaja, pokok pangkalnya hati.
Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah.” Intan cuba membuat
abahnya faham.
“Kenapalah kau seorang
ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah
dia membantah cakap macam kau ni!”
“Intan memang tak sama
dengan Kak Balkis, abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap
depan-depan, bukan membebal kat belakang,” Balas Intan selamba
menyemarakkan bara dalam dada abahnya.
“Anak tak mendengar
kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi… Aku dah tak larat nak
larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.” “Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak
ambil tahu lagi!”
Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan
langsung apa yang Intan nak buat.
Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia
bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Intan selalu menghulur
duit, tapi hanya kepada maknya sahaja.
Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang,
tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya.
Malan itu, selesai menikmati makan malan dan berjemaah
sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.
“Sebenarnya ayah suruh
kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.
“Hajat apa pula abah?”
tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
“Abah dan mak kau nak
ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum
cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu
seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya.
“Boleh tu boleh abah,
tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit
muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.
“Tapi… Pegawai Tabung
Haji tu minta bayaran di buat segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Kalau dalam seminggu
dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak
cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,”
Jawab Muaz serba salah.
“Kau beli rumah lagi,
rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi
kekecewaannya.
“Rumah baru tu besar
sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar,
masing-masing nak bilik sendiri. Lagi pun beli rumah tak rugi abah, pelaburan
masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz.
Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macma mana Kis, boleh tolong abah?
Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun
kita tu nanti,” Pak Uwer berpaling pada Balkis.
“Kis pun rasanya tak
dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal
perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni, faham ajelah… Ni tak lama lagi nak
bersalin nak pakai duit lagi.”
Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.
“Man bukan tak nak
tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang
kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”
“Betul kata Man tu
abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong
Muaz.
Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikan dada
Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai di
tertawakan oleh Intan bila kedua anak yang di harap-harapkan menghampakannya.
“Tak apalah kalau kau
orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada
rezeki, mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
“Kalau nak pergi
sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak
tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi… Dah tak ada rezeki kita nak buat
macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya
dengan rasa kesal.
Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua
itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa abahnya teramat
sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini di sanjung akan
mengecewakannya begitu.
“Anak awak tu tak balik
ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama
dengan abang dan kakaknya.
“Tak, katanya cuti
sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.
“Nak kemana pulak tu?”
tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.
“Nak ke kedai Long
Semah tu nak belikan anak saya kuit lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak
Pah menekan suara bilan menyebut anaknya.
Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.
Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak
keluar.
“Nak kemana Intan
pagi-pagi dan bersiap ni?”
“Intan ada hal sikit
kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke bandar
suruhlah abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.
“Tak payah mak, Intan
nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu.”
Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu, Kadangkala
sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu
menyisihkan diri.
Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan
abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.
“Kau ni Tan buat benda
apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung
salai, mak masak lemak cili api.”
“Ingat lagi abah lauk
kegemaran Intan rupanya,” Usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.
“Mak bapak memang tak
pernah lupakan anak-anak, Cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapa,” jawab
Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat
Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang
tamu. Abahnya sedang membaca surat khabar. Mak Pah pula melipat kain.
“Mak, abah… Intan ada
hal sikit nak cakap ni…,” ujar Intan menghampiri mereka.
Pak Uwei menurunkan surat khabar yang di pegangnya, kemudian
menanggalkan cermin mata yang di gunakan untuk membaca. “Apa hal… Kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan.
Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.
Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak
sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
“Abah ni… Ke situ pula…”
“Habis tu?”
“Ini… kad Tabung Haji
Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni resit memasukkan duit ke akaun
mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan
abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat
nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.
“Apa???” Pak Uwei
terkejut. Matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.
“Ini duit simpanan
Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah,
terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat
membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada
Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah
lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya
kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah.”
“Dah banyak kali abah
tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu
mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai Intan harap abah sudi terima
pemberian Intan” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi
abahnya yang sudah berkedut di mamah usia.
“Terima kasih Intan.
Malu rasanya abah nak ambil duit kamu… Dulu abah selalu bangga dengan Balkis
dan Muaz yang memagang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak abah yang kerja
kilang yang membantu abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu
atas keluhuran hati anak yang selama ini di musuhinya.
“Sudahlah abah. Yang lepas
tu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima
pemberian Intan”
“Pemberian kau ni
terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan…” ujar Pak Uwei.
Intan peluk abahnya erat.
“Hah… tulah, jangan
suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil
mengesat air mata penuh kesyukuran.
“Mak ni…” gelak
Intan memandang abahnya yang tersengih.
Masa yang di tunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara
yang datang menziarahi Pak uwei dan Mak Pah.
Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba. “Semua dah siap ke mak?” tanya Intan
menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa
di Mekah.
“dah rasanya… Ada
apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”
“Tak ada mak. Mak
janganlah fikir soala apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat
menunaikan ibadah dengan sempurna.”
“Hah! Awak dengar tu,
kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli belah,” tambah Pak
Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.
“Intan tak nak mak dan
abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan
bahagia di dunia dan akhirat” pesan Intan sambil memeluk emaknya.
Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan
permintaan Intan itu. Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah
air.
Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena disebelahnya. Dalam
keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa
tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai
menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di
Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia
akan pergi jauh.
“Kenapa resah aje ni
bang?” Mak Pah terjaga.
“Entahlah Pah, saya
teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”
“Sabarlah, dah nak
sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz
dan Azman menanti mereka.
“Mak… Abah…” Muaz
meraih emaknya dalam pelukan dan kemudan abahnya tanpa dapat menahan air mata
menitis laju.
“Mana yang lain ni,
kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.
“Mereka menanti di
rumah, abah…” Beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.
“Intan pun tak datang
juga ke?” tanya Pk Uwei terasa hampa.
“Awak ni… kan Man dah
kata mereka menunggu di rumah,” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama
Intan tak terlepas dari mulut suaminya.
Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa
begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa
bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam
sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau
Intan dengar cerita ni tentu dia geli hati,” cerita Mak Pah pada Muaz dan
Azman.
Muaz mengerling Azman yang sedang memandu. “Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan
yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi abah rasa amca
ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak
beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung abah.
Intak tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”
“Err… Tak ada abah.
Kita berhenti minum dulu abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.
“Tak payah, dah dekat
ni. Abah tak sabar nak balik.” Tolak Pak Uwei.
Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta,
Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan.
Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua
yang ada menitiskan air mata.
“Mak dengan abah sikat
ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibu bapa mertuanya.
“Sihat, Cuma batuk-batuk
aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan
tidak kelihatan.
“Naik dulu Ngahnya…”
suruh Long Semah.
“Intan mana?” Pak
Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas
dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baju yang
terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas.
Dadanya bergetar. “Az…
Mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang
menggeletar. Badanya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
“Sabar abah…” Muaz
menggosok belakang abahnya.
“Kenapa Az… Kenapa?”
Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan
melangkah laju ke bilik Intan.
“Mak… Intan dah tak
ada mak.” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei
terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia
terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.
“Sabarlah Ngah, ini
dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana
hajatnya nak lihat kamu nak haji dah tertunai,” Pujuk Long Semah yang masih
belum pulang.
“Intan ada tinggalkan
surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia
menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya
kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,”
Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia meninggal?
Siapa yang menghadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.
“Kami semua ada mak. Dia
begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini,
katanya nak kemaskan rumah kerana mak dan abah nak balik. Masa sampai tu dia
sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak, dia sakit kepala teruk
sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah
tiba. Masa itulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat
mak… Tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,”
cerita Muaz.
Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan
bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan
ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan “Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu
yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…”