Kepada adik-adik yang sedang merasai bahang cinta dan menjadikan novel cinta ala Islamik sebagai cermin yang diharap memantulkan kebahagiaan yang serupa dalam rumah tangga mereka nanti, ingin saya tinggalkan nasihat buat kalian,
Andai kalian merasakan hanya senyum dan tawa piawaian kebahagiaan, saya khuatir kalian telah tersasar daripada landasan dalam memaknakan kebahagiaan sebenar.
Kalian harus tahu bahawa kehidupan berumahtangga menjadi indah dan berwarna kerana ia dicorakkan dengan kejutan demi kejutan yang berlaku.
Adik-adikku yang dikasihi,
Apabila perasaan cinta mula menyapa hatimu, ia memang indah dan mengasyikkan, tetapi jangan mudah kalah dengan perasaan ini sebelum kalian benar-benar meneliti dua sisi iaitu:
◈ Andainya cinta itu semakin mendekatkan dirimu kepada ketaatan dan menjauhi maksiat yang dimurkai oleh Allah, maka terima lah cinta itu dan jagai lah ia sehingga sampai masa untuk kau menikmatinya secara halal dan terhormat.
◈ Andainya cinta itu kian menjarakkanmu daripada kemanisan ketika "bersama Allah" bahkan jalan-jalan maksiat lebih mendekat, maka jauhkanlah dirimu sejauh-jauhnya daripada cinta itu.
Ketahuilah adik-adikku,
Cinta yang benar akan lebih menjadikanmu seorang Muslim / Muslimah yang lebih malu, indah akhlak dan bertambah ketaqwaan. Bukan sebaliknya.
Insaflah, jalan cinta Allah bukan menyusahkan tetapi menyelamatkan, selamat di dunia dari kehinaan dan selamat di akhirat daripada neraka yang membakar.