بسم الله الرحمن الرحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Sebuah teksi berhenti dibelakang kereta isteri saya yang menghantar saya untuk rawatan. Pemandu teksi keluar mengambil wheelchair kerana orang tua yang dibawanya tidak berupaya berjalan.
Saya bantu menyorong ke dalam dan duduk disebelahnya. "Saya tengok Tuan Haji selalu dihantar oleh teksi, anak tiada kah?" Soal saya memula bicara.
"Isteri dan meninggal. Anak dah kerja dan dah kahwin, tinggal berasing. Saya tak mahu suruh anak hantar kerana saya takut mereka berdosa kerana menolak, memberi alasan, atau menghantar dengan macam macam perasaan. Biarlah saya upah teksi."
Dia diam sejenak. Saya dah bersedia mendengar luahan hatinya.
"Sekarang saya sedar, kita bela anak untuk menyenangkan hidupnya. Jangan mengharap untuk menyenangkan hidup kita."
Dia mula mengesat air mata. "Dosa berkata uuh! pun sudah cukup besar pada seorang anak, inikan mula menolak, memberi alasan dan bermuka masa bila diminta sesuatu. Biarlah, saya anggap saya sudah menamatkan tugas memelihara mereka. Biarlah mereka merenangi hidup tanpa diganggu."
Allahuakbar! Saya pula yang menitis air mata.
Kata-katanya benar benar meredupkan hati saya. Bukan tak pernah menolak permintaan ayah, bukan tak pernah memberi alasan untuk tidak menunai permintaannya, bukan tak pernah bermasam muka dengannya.
Ya Allah. Orang tua ini bukan sahaja berjaya menunai tanggungjawabnya, tetapi melakukan lebih lagi dengan mengelak anak anak terjerumus dosa.
Ayah dan emak siapa juga, akan mengorbankan seluruh kudrat yang ada demi kesejahteraan anak, yang lahir bukan atas paksaan tetapi naruli yang tuhan jadikan.
Jauh disudut hati mereka mengharap anak anak tempat bergantung dihari tua. Tetapi bagai dikata oleh orang tua yang saya temui, akhirnya bila zaman berubah, banyak anak yang terlupa, yang teralpa bila sibuk mengejar dunia, ada anak yang hilang pertimbangan antara bapa yang telah tidak berupaya serta membeebankan di dunia yang perlu dihambat.
Bapa yang baik akan meneruskan pengorbanannya sepertu orang tua yang saya ceritakan, sehingga akhir hayatnya.
Berhentilah memberi alasan kepada ibu dan bapamu kerana mereka tidak pernah memberi alasan untuk memenuhi permintaan mu kecuali bila mereka benar-benar tidak berupaya!
Al-Fatihah kepada ibu bapa kita samada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.