السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ,
Iman itu sangat penting dan perlu dimiliki. Ia perlu dicari sebagaimana kita mencari harta benda. Ia tidak mungkin datang sendiri tanpa usaha dan ikhtiar, sepertilah duit tidak pernah datang sebelum kita berusaha mendapatkannya.
Sudah menjadi sunnatullah, sesuatu yang berharga adalah susah untuk dicari dan dimiliki.
Umpama intan berlian dan emas permata, sangatlah payah mencari dan mendapatkannya. Manusia terpaksa berkorban nyawa menyelami lautan dan membelah bumi kerananya. Kalau tidak begitu, terpaksa pula mengumpul duit bertahun-tahun lamanya kerana ingin membeli barangan berharga itu. Kadang-kadang manusia mati sebelum mmperolehi barang yang sangat berharga itu. Begitu susahnya bagi kita mendapatkan sesuatu yang berharga.
Tetapi barang yang tidak berharga, tidaklah susah mendapatknnya. Misalnya pasir, batu tanah, rumput dan sebagainya. Di mana-mana sahaja kita boleh mendapatknnya, tanpa usaha ikhtiar yang berat dan susah. Kadang-kadang kita tidak berhajat pun mengambilnya tapi ia pula mahu mengikut kita dengan melekat pada baju atau kasut kita. Sedangkan iman, nilainya melebihi intan dan berlian.
Justeru itu untuk mendapatkannya adalah lebih susah dari mendapatkan mutiara dan intan berlian. Manusia wajib menggadai semua nikmat-nikmat lain untuk mendapatkan iman yang setinggi-tingginya. Jika tidak, usah mimpi iman itu akan datang dan masuk bertakhta dihati. Mungkin boleh disebut dan diingat selalu tetapi tidak mungkin boleh dirasai dan dimiliki.
Daripada Ibn Umar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada tuhan lain melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah rasul dan pesuruh Allah, mendirikan sembahyang fardhu, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Makkah al-Mukarramah dan berpuasa pada bulan ramadhan”.
1. Agama Islam ditegakkan di atas lima rukum yang paling penting iaitu:
- Mengucap dua kalimah syahadah
- Menunaikan sembahyang fardhu lima waktu
- Berpuasa pada bulan Ramadhan
- Memberi zakat (zakat fitrah, harta, tanaman dan lain-lain)
- Menunaikan haji ke Baitul Allah sekali seumur hidup
3. Orang yang mengingkari salah satu rukun ini jadi kafir dan orang yang memandang remeh atau bermudah-mudah jadi fasiq.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sumber Hadis: http://www.islam.gov.my/e-hadith/237-kesempurnaan-iman